Kenyataan Iswardy tidak mewakili pendirian PKR

PETALING JAYA – Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil menegaskan kenyataan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak mewakili pendirian parti.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, biro politik parti itu telah memberikan amaran keras kepada Iswardy sebelum ini.

“Pimpinan PKR mengambil maklum sebuah video YouTube yang dimuat naik seorang individu bernama Iswardy Morni yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Kenyataan-kenyataan beliau tidak sama sekali mewakili pendirian PKR, sebuah parti yang menjunjung dan mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu seperti tercatat dalam perlembagaan parti,” katanya di sini hari ini.

Katanya, ucapan Iswardy di dalam sebuah video sebelum ini pernah dibangkitkan dan dibincangkan dalam Biro Politik PKR, malah keputusan telah diambil seawal April lalu.

“Iswardy telah diberi amaran keras dan parti juga telah memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memecat beliau sekiranya mengulangi perbuatan sama.

“Oleh kerana isu video Iswardy kini telah menjadi kes siasatan polis, PKR akan menunggu hasil siasatan tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap beliau,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan polis telah menahan Iswardy di rumahnya di Kajang kira-kira pukul 11 malam Sabtu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berbaur hasutan dan menghina Agong menerusi video secara langsung di laman YouTube. – K! ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*